Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: Respons terhadap tulisan Mufti Perlis


Mr Ex-Oficio

Status: Offline
Posts: 200
Date:
Respons terhadap tulisan Mufti Perlis


Respons terhadap tulisan Mufti Perlis (Berita Harian 4 Januari) 

lidah_penghunus teruja mengulas rencana tulisan Dr Mohd Asri (Mufti Perlis) yang tersiar di Berita Harian pada 4 Januari 2007 atas sikap yang diwar-warkan oleh Tuan Mufti sendiri supaya kita umat Islam sentiasa bersifat terbuka, boleh bertanya dan boleh ditegur.
Oleh yang demikian ulasan ambo ini janganlah dianggap tidak menghormati pendapat `ulama'. ambo beranggapan konsep `masuk Melayu' itu adalah kefahaman rakyat Malaysia secara rambang. Bangsa selain Melayu khususnya orang Cina juga mempunyai persepsi sebegini. Apakah ada bukti persepsi ini dijana oleh orang Melayu atau ianya terjana dengan sendirinya di kalangan rakyat Malaysia?

Berapa ramai orang Melayu yang menjadikan Melayu sebagai ganti kepada Islam seperti yang didakwa oleh tuan Mufti? Dalam mana-mana borang permohonan di Malaysia tak kira apa jenis borang yang melibatkan pendaftaran individu, antara butir-butir diri yang dikehendaki ialah bangsa dan agama. Hal ini boleh dibuktikan jika  meluangkan sedikit masa untuk menyemak borang pendaftaran contohnya borang pendaftaran prepaid, borang pendaftaran masuk universiti, borang permohonan telekom dan sebagainya.Jika benar bangsa dijadikan ganti nama kepada agama maka borang-borang berkenaan tidak akan meminta dua butiran ini secara terpisah. Ini adalah fakta.

Istilah `masuk Melayu' ini memang wujud dalam masyarakat Malaysia berbagai bangsa. Ia merupakan satu istilah yang lebih sesuai dikategorikan sebagai `bahasa pasar'. Manakala istilah bukan Islam tidaklah merujuk kepada orang Cina semata-mata. Tetapi kebanyakkan orang Cina khususnya orang Cina di Malaysia sememangnya termasuk dalam kelompok bukan Islam.

Begitu juga istilah muallaf ia adalah istilah yang digunakan untuk orang yang asalnya bukan Islam bila mereka telah menganut agama Islam. Istilah ini tidak semata-mata dirujuk kepada bangsa Cina yang masuk Islam sahaja. Orang Melayu manakah yang menganggap muallaf tidak boleh menjadi mukmin sejati? Muallaf hanyalah istilah pengenalan kepada bangsa lain yang menganut agama Islam biasanya menjadi muslim atas dasar perkahwinan. Orang Melayu khususnya tak mengaitkan istilah muallaf dengan keimanan atau status muslim sejati.
Soal bilangan orang Cina Islam yang lebih baik dari orang Melayu tidak perlu dibandingkan jika tiada statistik yang menyokong kerana pada hakikatnya yang menentukan kelebihan sesuatu bangsa berbanding dengan yang lain ialah ketaqwaan. Kita juga tak boleh menutup fakta adanya (walaupun tak ramai) orang Cina yang `masuk Melayu' kerana ingin menikmati keistimewaan orang Melayu yang diberikan oleh pihak kerajaan.

Mempertikaikan keislaman orang Melayu yang dilahirkan sebagai Islam juga bukanlah suatu sikap yang wajar bagi seorang bertaraf mufti melainkan beliau membawakan bukti. Berapa ramaikah orang Melayu yang beranggapan mualaf sebagai Islam menumpang dan tidak asli? Bagi saya tanggapan begini boleh mendatangkan prasangka buruk orang Melayu terhadap orang beragama (mufti) dan boleh pula menyemarakkan perasaan kurang senang bangsa lain terhadap bangsa Melayu.

Berkaitan pakaian,berkain pelikat, berbaju Melayu seperti yang sering dipakai oleh tuan mufti adalah pakaian yang menutup aurat. Menutup aurat adalah wajib dari sudut hukum agama.Jadi tidak salah tanggapan bahawa pakaian tersebut `berunsur agama'. Jika peka dengan budaya Melayu, tentu  dapat melihat kebiasaan pak imam kampung berbangsa Melayu memakai jubah. Jubah juga dikaitkan dengan pakaian berunsur agama kerana sifatnya menutup aurat.

Berkaitan cara makan, makan dengan sepit bukanlah cara makan Nabi Muhammad s.a.w Nabi Muhammad gunakan jari tidak gunakan medium lain seperti sudu atau apa apa alat lain. Ya! Islam juga tidak menghalang budaya yang tidak menyanggahi nas-nasnya. satu ketika dulu orang Melayu menganggap salah makan menggunakan sepit, tetapi sekarang untuk pengetahuan  sudah ramai orang Melayu makan menggunakan sepit malah ada yang makan sup tulang bab* kerana mereka pasti bahawa Allah s.w.t hanya haramkan daging bab* bukannya tulangnya. Jadi dalam hal ini, pemikiran masyarakat sentiada berubah dan ulama adalah antara agen perubah minda. Jika ulama atau mufti berfikiran keanak-anakan maka masyarakat akan terikut `budaya' yang sama.

Kita harap tanggapan mengenai makan dengan sepit, menganggap Melayu itu sama dengan Islam, gelaran muallaf dan beberapa kebiasaan tanggapan orang Melayu akan menjadi pudar dengan adanya perluasan ilmu melalui media penulisan terutama yang ditulis oleh golongan muda yang berilmu seperti Tuan mufti.

Namun ambo  khuatir jika keghairahan membangkitkan isu yang remeh temeh seolah-olah (seakan akan) cuba menutup isu `bangkai gajah' seperti isu murtad, amalan riba dan rasuah,ISA, diskriminasi politik dan ekonomi dan berbagai lagi isu yang sangat menghimpit rakyat Malaysia tak kira Islam atau tidak.

Soal menukar nama kepada nama yang berbau Arab, amboxnampak dimana benarnya fakta yang tuan mufti bawa iaitu orang Melayu menyuruh/memaksa muallaf Cina menukar nama tetapi mereka terutama yang bersuamikan/ beristerikan bangsa Cina lebih selesa pasangan mereka ada identiti Islam. Antara `identiti' Islam yang mudah dilihat dari luar ialah pakaian, nama dan jenis makanan yang dipilih. Di Thailand orang Islam pakai dua nama, satu nama Thai satu nama muslim. ambo tidak susah untuk kita memahami rasionalnya mengapa nama Islam itu begitu penting kepada orang Islam bila bangsa yang tidak dikenali sebagai bangsa Islam menganut agama Islam. Tidak pula sukar kita memahami Kenapa orang Melayu bangga dikenali sebagai muslim.

Jika kita berkunjung ke Palestin, Mesir dan negara Eropah/Barat tentu kita sukar untuk mengucapkan salam kepada sesama Islam bila bertemu kerana kita tidak dapat mengenali yang mana muslim yang mana non-muslim dari perwatakan, cara berpakaian apa lagi nama. Jadi bagaimana kita boleh mengukuhkan ukhwah sesama Islam seperti yang dikehendaki oleh Sunnah Rasulullah s.a.w. Di zaman Rasulullah s.a.w wanita muslim dikenali dengan hijabnya manakala lelaki muslim dikenali melalui serban dan janggutnya (mungkin). Apakah benar dakwaan bahawa menukar nama kepada nama Melayu menyebabkan orang Cina takut masuk Islam?

Bukankah isu nama Islam ini terlalu remeh untuk di'rencana'kan? Muallaf sememangnya boleh mengekalkan nama Cina/keluarga dan terus berhubung dengan keluarga mereka seperti mana yang dibuat oleh tokoh agama seperti Ridhuan Tee, ustaz Farid Ravi dan ustaz Hussein Yee .Tentunya kita tidak lupa kepada penyanyi D.J Dave dan Maurin Chan, pelakon Lousa Chong, penulis Ann wang Seng, pensyarah Prof Joko Jomo Sundaram yang telah memeluk Islam tetapi mengekalkan nama mereka asal mereka?

Berbangkit isu orang Islam melakukan khurafat, syirik dan mempersendakan hukum, ianya tidak berlaku di kalangan orang Melayu sahaja. Malah orang Islam bangsa lain termasuk bangsa Arab juga giat melakukannya kerana tahap iman yang tidak sekata, tahap ilmu yang semakin cetek dan tahap kesedaran yang semakin pudar. Bukan orang Melayu sahaja yang `gagal' mengislamkan orang Cina malah lebih buruk orang Arab sendiri tidak dapat mengislamkan semua orang Arab!

Begitu juga sifat malas, dendam kesumat dan sifat buruk yang tidak diredhoi oleh Allah s.w.t bukanlah sifat sejati orang Melayu. Malah sifat berkenaan sangat ketara di kalangan orang kafir seperti mana yang disebutkan oleh Allah s.w.t dalam surah al-munafikun khususnya. Setiap bangsa mempunyai kelebihan tersendiri kerana itu dalam surah Al-Hujurat ayat 13 Allah s.w.t berfirman yang mafhumnya "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

Dalam bidang pelajaran pula mungkin tuan mufti Perlis sudah terlepas pandang akan keputusan UPSR, PMR dan SPM terkini. Bangsa manakan yang skor A dan menjadi pelajar cemerlang? Bukankan kebanyakkannya pelajar sekolah agama berbangsa Melayu? Statistik zaman bilakah yang tuan mufti jadikan hujjah untuk memperlekehkan kebolehan anak bangsanya sendiri? Adakah penulisan begini dijangka mampu untuk menarik minat orang Cina (khususnya) masuk Islam? Apakah pandangan tuan mufti ini akan menguja orang Melayu untuk lebih cemerlang?

Seterusnya saya menyeru Tuan Mufti Perlis ini agar meluangkan masa membaca akhbar dan meluaskan ilmu keduniaan. Di dunia sekarang ini telah tumbuh bagai cendawan penyelidikan makanan untuk mencerdaskan minda. Sudah berpuluh-puluh jenama makanan kesihatan seperti spirulina, IQ-plus, produck sini dan berbagai lagi yang dikeluarkan oleh kilang-kilang kepunyaan bangsa bukan Melayu untuk meransang otak.

Apalah dan di mana sangatlah letaknya daya tarik kismis jampi/doa yang cuba di'sekeh' oleh tuan mufti tu? Apakah dengan memakan kismis jampi orang Melayu jadi syirik atau melakukan khurafat? Apakah dengan percaya kepada doa dan jampi yang hanya mengunakan kalimah Allah boleh dianggap sebagai agen kepada kelemahan pelajar Melayu? Fakta ini sangatlah karut. Bukankah kismis juga dari sudut nutrientnya mengandungi zat yang baik untuk tubuh badan dan daya ingatan? Sama ada ia dijampi atau tidak itu bukan isunya.
Sudahkah Tuan mufti buat soal selidik kepada pelajar-pelajar sekolah dan universiti yang berjaya dan gagal dalam peperiksaan bagi menentukan yang dakwaan Tuan Mufti terhadap keajaiban air jampi itu boleh dijadikan satu kajian ilmiah yang boleh dibanggakan? Sebaliknya kenyataan rambang Tuan Mufti ini hanyalah menunjukkan sikap dan pandangan serong Tuan Mufti terhadap air jampi dan air Yasin. Pandangan begini sangat jelek kerana Tuan Mufti seolah-olah memperlekehkan nilai doa, harapan dan keberkatan dari bacaan kalamullah.
Tuan Mufti mempunyai satu prasangkan buruk terhadap orang Islam tanpa tahu apa sebenarnya yang terkandung dalam hati pengamal/ peminum air jampi/Yasin. Tuan Mufti fikir semua orang Islam yang minum air jampi/Yasin tu bodoh dan tak menghayati Islam. Setahu saya sekolah yang mengadakan solat hajat, baca Yasin dan minum air jampi/Yasin adalah sekolah-sekolah cemerlang yang telah terlebih dahulu memastikan sistem pembelajaran pelajarnya berada di tahap yang memuaskan. Solat hajat/minum air yasin adalah ikhtiar akhir mereka. Agaknya Tuan Mufti tak pernah menjengah apa yang berlaku di persekitarannya, Beliau hanya membaca apa yang ada ditempurung kepalanya sahaja.

Perlu diingat bahawa Tuan Mufti dilantik menjadi mufti kerana adanya sijil/ijazah kedoktoran selain dari kerajinan menulis dan menonjolkan diri. Kerajinan menulis, berhujjah dan berseminar bukanlah bukti seseorang berilmu. Kita telah diberitakan tentang Nabi Khidir a.s yang diberi keluasan ilmu tetapi baginda bukanlah seorang penulis kitab! Jadi kita bimbang tuduhan Tuan Mufti bahawa ada Melayu yang ada sijil tiada ilmu itu akan terpalit ke muka Tuan Mufti sendiri berdasarkan tulisan Tuan Mufti sendiri yang kurang kajian ilmiah terutama dari sudut data statistiknya.

Dalam hal menghadapi ujian penyakit, Nabi Ayub a.s yang sangat cintakan ilmu tetap diuji dengan penyakit sehingga menjadikan baginda Nabi yang paling sabar. Jika dikaitkan dengan pandangan Ibnu Taimiyyah seperti yang dinukil oleh Tuan Mufti, apakah kita boleh mendakwa Nabi Ayub a.s sebagai orang yang tidak kuat jiwanya sehingga tak berjaya melawan penyakit? Tentulah pandangan Ibnu Taimiyyah tentang kaitan ilmu dan kesihatan ini amat mengelirukan jika ditafsir sedemikian. Saya percaya imam-imam terdahulu mengamalkan zikir2 secara istiqomah, sentiasa berdoa dan tidak memperlekehkan sesama umat. Inilah nilai akhlaq mereka yang menyebabkan mereka membina keperibadian yang cemerlang sehingga mendapat tempat yang istimewa di hati umat sehingga kini.

Sewajarnya kita bersikap sederhana apabila memuji dan memperlekehkan sesuatu bangsa agar pandangan kita tidak dipandang serong. Orang Cina ada sisi baiknya, begitu juga orang Melayu, India, Arab dan lain –lain. Ada orang Melayu yang tak berpelajaran tinggi tetapi maju dalam perniagaan seperti Tuan Haji Samsuri yang mengusahakan satay Kajang dan juga Tuan Haji Ramli yang mengusahakan Ramly Burger. Ramai lagi tokoh Melayu Islam yang tak berpelajaran tinggi tetapi gigih berusaha dan berjaya. Paling membanggakan mereka mempunyai nilai tawakkal yang tinggi, tetap berpegang kepada agama Islam dan berpakaian Melayu.

ambo tidak pasti apakah kejayaan ini didorong oleh hadis palsu "tuntutlah ilmu sampai ke negeri Cina" tetapi yang nyata dan fakta mereka (Samsuri dan Ramly) tak pernah belajar di negara China!

Sekianlah ulasan ambo sekadar menyahut seruan Tuan Mufti agar umat Islam ini sentiasa peka, ikhlas dan sentiasa menuntut/cintakan ilmu. Rabbi zidni ilma warzuqni fahma, ya Allah tambahkanlah ilmuku dan berilah aku kefahaman. Amin.

__________________
Hidup lidah penghunus.... Tegakkan kebenaran...Musnahkan pembohongan.... "Kepimpinan akan lebih matang jika kita matangkan diri kita"
Page 1 of 1  sorted by
 
Quick Reply

Please log in to post quick replies.

Tweet this page Post to Digg Post to Del.icio.us


Create your own FREE Forum
Report Abuse
Powered by ActiveBoard