SEBAIK sahaja Pyongyang melakukan ujian peluru berpandu Taepodong I dan diikuti dengan ujian ledakan nuklear pada Oktober 2006, beberapa negara Asia Pasifik telah mengambil tindakan yang bakal menggugat keamanan dunia.
Tokyo dan Washington telah membentuk satu pakatan sistem pertahanan ala Star Wars yang dinamakan Pertahanan Peluru Berpandu Balistik (BMD). BMD Jepun ini dianggap terulung kerana pakatan sebegini adalah pertama kali berjaya diujudkan di luar AS.
Sistem BMD adalah satu sistem pertahanan yang menggunakan peluru berpandu sama ada yang dilancarkan dari darat, laut, udara dan angkasa lepas untuk memusnahkan peluru berpandu musuh.
Walaupun terdapat pakatan pertahanan peluru berpandu yang serupa dilaksanakan antara AS dengan beberapa negara sekutu di Eropah seperti Britain, Poland dan Republik Czech, tetapi kesemua ini tidak mampu menandingi kehebatan pakatan BMD Asia Pasifik yang dipelopori oleh Tokyo.
BMD Australia umpamanya mempunyai Jaringan Operasi Radar Jindalee (JORN) Pine Gap yang bukan hanya mampu mengesan peluru berpandu malah sebarang aktiviti ketenteraan jiran Australia.
Setakat ini negara pertubuhan ASEAN masih belum kedengaran desas-desus untuk membangunkan sistem pertahanan ala Star Wars ini. Sebab itu apabila timbul berita yang menyatakan Singapura pula bercita-cita ingin membangunkan BMD, ramai penganalisis serantau agak terpinga-pinga memikirkan apakah Singapura hanya sekadar bergurau.
Mungkin pada hari ini tidak nampak munasabah mengapa Singapura memerlukan perisai perlindungan peluru berpandu kerana ancaman di sebelah rantau Asia Tenggara boleh dikatakan tiada. Tetapi jika diimbas kembali pada tahun 1998, apabila Singapura menyatakan hasrat menubuhkan skuadron helikopter tempur, ramai yang menganggap itu hanyalah angan-angan semata-mata. Tetapi hari ini Singapura telah pun mempunyai satu skuadron helikopter penggembur Apache Longbow.
Memang tidak dinafikan di kalangan negara Asia Tenggara, Singapura mempunyai sistem pertahanan udara paling canggih dengan kelengkapan terbaik seperti radar, peluru berpandu dan jet pejuang.
Tidak diketahui apakah konsep atau tujuan sebenar BMD Singapura yang akan dibangunkan dengan bantuan AS. BMD Australia adalah khas digunakan untuk pemantauan pergerakan peluru berpandu melalui radar JORN, manakala BMD Jepun dan Taiwan lebih khusus kepada keupayaan melancarkan peluru berpandu seperti yang disediakan oleh Aegis dan PAC-3.
Tetapi apa yang lebih pasti adalah jika BMD Singapura menjadi kenyataan, maka sudah tentu rantau Asia Tenggara akan menyaksikan perlumbaan senjata peluru berpandu. China umpamanya sebagai mengekang BMD Taiwan mempunyai beratus peluru berpandu yang dihalakan ke arah Taipei. Korea Utara pula berani melancarkan peluru berpandu ke arah Jepun cuma untuk membuktikan mereka mempunyai kemampuan mengekang BMD Jepun. Taiwan pula mengambil tindakan balas dengan ura-ura untuk melancarkan peluru berpandu Hsiung Feng III yang dikatakan mempunyai jangkauan 600km dengan ketepatan sasaran yang lebih tepat. Tidak perlu difikir apakah reaksi Pakistan jika BMD India pula menjadi kenyataan.
BMD Singapura dikatakan tidak sukar untuk dibangunkan kerana Angkatan Tentera Singapura (SAF) sedang menjalani transformasi ke arah keupayaan terbaik yang akan dicapai sepenuhnya dalam jangka masa lima hingga tujuh tahun akan datang. RSAF umpamanya bakal mendapat manfaat paling besar apabila transformasi 3G SAF menjadi kenyataan. Jika generasi pertama RSAF yang ditubuhkan sebaik sahaja berpisah dengan Malaysia dengan hanya mempunyai kemampuan pertahanan udara paling asas, maka RSAF generasi ketiga akan mengamalkan konsep pertahanan udara paling canggih dan ini termasuklah pembangunan BMD.
Apakah negara ASEAN seperti Malaysia, Thailand, Indonesia dan Brunei akan berdiam diri jika BMD Singapura mula menjadi kenyataan tidak sukar untuk ditelah. Sudah pasti rantau Asia Tenggara akan menjadi medan perlumbaan senjata peluru berpandu jika pembangunan BMD Singapura tidak ditegah
__________________
Hidup lidah penghunus....
Tegakkan kebenaran...Musnahkan pembohongan....
"Kepimpinan akan lebih matang jika kita matangkan diri kita"